Header Image

Sejarah

Definisi Koperasi Kredit

Koperasi ertinya suatu pertubuhan orang berautonomi yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial dan budaya mereka yang sama melalui suatu perusahaan milik bersama dan dikawal secara demokrasi.

Koperasi kredit merupakan sebuah badan sosio-ekonomi, di mana, matlamat utamanya bukanlah berlandaskan keuntungan semata-mata yang ditubuhkan oleh anggota-anggotanya, untuk menyediakan suatu saluran yang mudah dan selamat, yang membolehkan anggota-anggotanya untuk membuat simpanan dan mendapat kemudahan pinjaman pada kadar yang berpatutan semasa keperluan.

Anggota perlu membayar yuran masuk semasa pendaftaran dan, mengikut keupayaan kewangannya, mengakujanji untuk membuat simpanan bulanan yang tetap. Simpanan atau yuran bulanan minima adalah seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang kecil sesuatu koperasi kredit tersebut.

Sesuatu koperasi kredit mempunyai objektif-objektif berikut:

      menggalakkan sikap bekerjasama, bantu diri dan tanggungjawab diri di kalangan anggota-anggotanya;
      menggalakkan sikap berjimat cermat di kalangan anggota-anggotanya;
      membantu anggota-anggotanya untuk memperolehi pinjaman mengikut terma-terma dan kadar yang berpatutan
       yang membantu menghindarkan diri mereka daripada terjerumus ke dalam bebanan hutang yang kekal;
      menerima simpanan atau yuran bulanan serta deposit daripada anggota-anggotanya;
      membantu anggota-anggotanya untuk mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan taraf sosio ekonomi
       mereka.

Sejarah penubuhan Koperasi NUCW Berhad

Koperasi NUCW Berhad ditubuhkan pada 28 haribulan Disember 2004, mengikut peruntukan seksyen 7(1) Akta Koperasi 1993 dengan liabiliti terhad. Kawasan operasi Koperasi NUCW Berhad adalah seluruh Malaysia.

Keanggotaan di dalam Koperasi NUCW Berhad terbuka kepada semua pekerja yang berkhidmat di dalam sektor komersial dan industri, pekerja-pekerja yang berkhidmat di dalam sektor awam, badan-badan berkanun dan juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs).

Sebagai sebuah koperasi kredit, matlamat utama penubuhannya adalah untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi anggota-anggotanya dengan mempelbagaikan sumber-sumbernya. Ianya bertujuan untuk membantu anggota-anggotanya meringankan bebanan kos sara hidup dan memajukan ekonomi mereka agar dapat memimpin kehidupan yang lebih baik.

Bagi Koperasi NUCW Berhad, kepentingan anggota-anggotanya adalah segala-galanya dan segala usaha yang dikerahkan demi kepentingan anggota-anggotanya adalah berpandukan prinsip-prinsip universal koperasi seperti berikut:-

      keanggotaan secara sukarela dan terbuka;
      kawalan demokratik oleh anggota – satu undi untuk setiap anggota;
      penglibatan ekonomi oleh anggota;
      autonomi dan kebebasan;
      pendidikan, latihan dan maklumat;
      kerjasama antara koperasi; dan
      mengambil berat terhadap masyarakat

Pentingnya menyertai Koperasi NUCW Berhad

Koperasi adalah satu-satunya bentuk perniagaan yang berlandaskan kepada keanggotaan dan manfaat kepada anggota dan masyarakat merupakan asas kewujudan sesuatu koperasi. Berkoperasi adalah salah satu cara di mana sekumpulan individu mampu memulakan dan memiliki perniagaan bersama apabila sebagai individu, seseorang tidak memiliki kemampuan dari segi kewangan atau pengetahuan untuk berbuat demikian.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, terutamanya skop pekerja-pekerja sektor komersial dan industri, berkoperasi merupakan cara pemilikan perusahaan untuk mereka yang berada di dalam kelas pendapatan rendah atau sederhana. Segmen masyarakat ini sering kali tidak dapat menyertai secara aktif atau tidak diwakili sewajarnya di dalam pemilikan ekuiti modal saham syarikat-syarikat berhad di Malaysia.

Koperasi NUCW Berhad berhasrat untuk menangani kelemahan ini melalui penyertaan anggota-anggotanya. Bayaran yuran atau simpanan bulanan yang tetap, dalam erti kata lain, pelaburan oleh anggota-anggotanya, membolehkan Koperasi NUCW Berhad untuk menggembleng sumber yang substantif sebagai modal, merancang dan melaksanakan pelaburan di dalam pelbagai sektor. Lebihan hasil daripada pelaburan ini kemudian akan diagihkan dalam bentuk bayaran dividen tahunan kepada anggota-anggota setimpal dengan naungan mereka.

Melalui cara ini, anggota-anggota dapat mengumpul dan membina aset di dalam perniagaan koperasi dengan mengekalkan lebihan hasil yang dibayar dalam bentuk dividen ke dalam akaun masing-masing. Dalam jangka masa panjang, ianya merupakan satu lagi bentuk simpanan hari tua selain daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk golongan ini.

Memandangkan Koperasi NUCW Berhad adalah dimiliki bersama dan diurus secara demokratik oleh anggota-anggotanya, maka sesuatu usaha perniagaan atau pengambilalihan sesuatu entiti perusahaan bermakna pemilikan bersama yang boleh dibanggakan oleh anggota-anggotanya.

Kesimpulannya, keanggotaan di dalam Koperasi NUCW Berhad merupakan peluang yang sempurna untuk anggota-anggotanya kerana, yuran simpanan bulanannya adalah bermula serendah RM30 seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang kecilnya.

Top